PORT ELIZABETH, Afrika Selatan - Wakil Asia, Korea Selatan bermula garang apabila membenam juara Eropah 2004, Greece 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan B, semalam.
Korea menjadi pasukan pertama yang mencatat kemenangan di Piala Dunia 2010, malah membuka peluang mereka untuk beraksi di pusingan kedua.
Lee Jung-soo menolak masuk bola terhidang di depan gol pada minit ketujuh selepas pertahanan Greece gagal mengeluarkan bola lintang dari arah sebelah kiri yang dilancarkan pemain Celtic, Ki Sung Yueng.
Bintang Manchester United, Park Ji-sung menambah gol kedua selepas menghukum kesilapan pemain Greece, Vassilis Torosidis dan melepaskan rembatan yang mengelirukan penjaga gol, Alexandros Tzorvas pada minit ke-52.
Korea boleh mencatat kemenangan lebih besar jika penyerangnya, Park Chu-Young dapat memanfaatkan tiga peluang keemasan namun pemain berjersi nombor 10 itu gagal menemui sentuhan penyudah yang diharapkan.
Greece terlebih dahulu menguji pertahanan Korea apabila percubaannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Jung Sung-Ryong pada minit ke-10.
Pada penghujung perlawanan, jurulatih Greece, Otto Rehhagel hanya mampu terduduk kekecewaan di tepi padang melihatkan persembahan skuad bimbingannya.
Korea Selatan akan berdepan Argentina, Selasa depan. - AP


Today: 0
Yesterday: 0
Overall: 930
Guests : 8
Members : 0
Total: 8





